Lagi Isu di Perak (2) – Keputusan Sultan Perak Berdasar Kuasa Budi Bicara Ikut Undang-undang : Peguam

17 02 2009

SHAH ALAM, 17 Feb (Bernama) – Seorang pengamal undang-undang berpengalaman meminta mereka yang meragui keputusan Sultan Perak Sultan Azlan Shah berhubung pelantikan kerajaan baru di Perak baru-baru ini supaya memahami peruntukan berkaitan kuasa budi bicara Raja mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Salehuddin Saidin berkata ini penting bagi mengelak perbuatan meluahkan perasaan di jalanan dan bantahan berlebihan hingga membawa kepada tindakan liar dan boleh dianggap biadab terhadap Raja Melayu.

“Kalau dahulu tindakan gerakan demonstrasi jalanan biasa dilihat di Kuala Lumpur dan di kota-kota, namun kini kita tersentak dengan kejadian yang telah menular di sebuah Bandar Diraja (Kuala Kangsar) yang tenang dan aman yang tidak pernah terlintas di lubuk hati kita insiden sedemikian akan berlaku.

“Alangkah sedihnya melihat fenomena ini menjadi semakin berleluasa dan melihat orang Melayu sendiri sanggup menentang Raja dan bersikap biadab, dan ada yang sanggup mohon derhaka terhadap Sultan semata-mata untuk menegakkan pendirian masing-masing,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Salehuddin, yang pernah menjadi Ketua Unit Pendakwaan di Selangor berkata, perasaan marah golongan itu sehingga hilang pertimbangan akal yang wajar, dan sanggup menghalang rombongan Diraja serta mencaci Sultan dalam blog, bermakna sebahagian masyarakat seolah-olah telah hilang rasa hormat dan cinta kepada Raja dalam sistem Raja Berperlembagaan di negara ini.

“Adakah kita lupa selama ini Institusi Raja telah banyak memainkan peranan untuk menyelesaikan kemelut masyarakat Melayu yang berhadapan dengan isu-isu yang melibatkan hak-hak dan keistimewaan orang Melayu?

“Tidakkah kita pernah terfikir bahawa institusi Raja merupakan teras kepada perlindungan hak istimewa orang Melayu seperti mana diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan khususnya Artikel 153 yang selama ini kita nikmati.

“Adakah pepatah ‘Melayu mudah lupa’ seperti yang diluahkan oleh (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad hendak kita biarkan menjadi satu kenyataan?” katanya.

Salehuddin berkata kuasa-kuasa budi bicara Raja yang diberikan secara mutlak kepada Raja iaitu bagi pelantikan Menteri Besar dan keengganan memberi persetujuan terhadap permohonan bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri adalah termaktub dalam Perkara 12, 16 dan 18 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Peruntukan Perkara 18 (2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, antara lain, menyebut: “Maka Duli Yang Maha Mulia bolehlah memutuskan mengikut timbangannya sendiri pada menjalankan kuasa-kuasa yang tersebut di bawah (sebagai tambahan kepada kuasa-kuasa yang pada menyempurnakannya ia boleh memutuskan mengikut timbangan sendiri di bawah Perlembagaan Persekutuan) iaitu:

(a) Lantikan seorang Menteri Besar,

(b) Keengganan memberi persetujuan kepada satu permohonan bagi pembubaran Dewan Negeri,”

Salehuddin berkata peruntukan tersebut wajar dibaca bagi membuat pertimbangan sewajarnya tentang kuasa-kuasa budi bicara Raja yang dilaksanakan secara mutlak oleh Raja.

“Kenapa tidak kita kembali kepada asas tamadun budaya Melayu untuk berbincang dengan lebih beradab dengan Raja-Raja mengenai sebarang pertelingkahan agar dapat diselesaikan dengan baik dan tidak mendatangkan ketegangan kepada semua pihak,” katanya.

Beliau berkata budaya membawa rungutan dan tidak puas hati ke jalanan harus dihentikan serta merta bagi mengelak bangsa daripada kehancuran dan dicemuh sebagai satu bangsa tidak beradab dan terlalu mengikut emosi. – BERNAMA


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: