Secebis keratan dari “Buku Nota Ibu”

15 02 2009

“Apa yang ibu catatkan untuk mu anak-anak ku tidaklah sehebat tulisan sejarawan tapi cukuplah sekadar untuk kamu mengambil iktibar bila kamu dewasa kelak.”
Perjalanan kita merentas dunia bagi mendidik kamu diteruskan ke bahagian timur tengah yang lebih dikenali sebagai Jaziratul Arab atau kepulauan Arab. Selama 5 tahun dihabiskan disini untuk memahami dan mempelajari tempat asal 3 ugama utama di dunia Islam , Kristian dan Judaism. ( Setiap satu akan diterangkan nanti)
Seluruh tanah Arab ini yang telah terbahagi kepada 16 buah negara yang menggunakan satu bahasa dan mengambil ugama Islam sebagai agama rasmi. Persoalannya mengapa dari akar keturunan yang sama dan menggunakan bahasa yang satu tidak dapat menyatukan mereka. Setiap tanda tanya membawa kita terus ke segenap penjuru untuk mencungkil rahsia di sebalik perpecahan ini.
Pada asalnya mengikut sejarah awal yang tidak pernah tercatat secara terperinci, penduduk jaziratul Arab boleh terbahagi kepada 2. Padang pasir dan negeri seterusnya mereka dipisah-pisahkan lagi mengikut puak-puak tertentu. Walaupun sebenarnya serupa tapi setiap puak merasakan mereka tidak setaraf antara satu sama lain.
Cuaca yang melampau di padang pasir seperti sinonim dengan sikap semulajadi mereka yang saling bermusuhan. Perebutan kawasan wadi, padang rumput, darjat keturunan atau apa sahaja akan membawa kepada peperangan. Mungkin kerana terlalu sibuk bertelingkah hingga mereka tidak punya waktu untuk memikirkan tentang kemajuan, adat resam atau kesenian budaya.
Secara amnya detik permulaan sejarah bangsa Arab yang mula tercatat apabila nabi Ibrahim a.s meninggalkan Siti Hajar dan Ismail a.s di suatu lembah kontang. Di dalam kepayahan, Allah telah mengizinkan terbitnya mata air zamzam dari muka bumi. Dengan adanya punca air maka tempat yang gersang telah menjadi tumpuan kabilah-kabilah Arab. Bila dewasa nabi Ismail a.s telah mengahwini seorang puteri dari suku Jurhum maka bermulalah rangkaian keturunan Arab hingga kini.
Tempat yang kontang iaitu tanah suci Mekah terus berkembang dan menjadi tumpuan manusia dari seluruh jazirah. Masa berlalu dan nabi Ibrahim a.s datang menziarahi keluarga yang telah ditinggalkan. Allah memerintahkan beliau untuk membina Kaabah dan sekelian manusia diseru untuk beriman kepadaNya. Sejak itu kota Mekah dianggap suci oleh bangsa Arab dan upacara-upacara keagamaan di jalankan disana. Disebabkan sifat semulajadi mereka yang suka berperang maka bangsa Arab telah bersepakat untuk melarang peperangan dalam bulan haji dan umrah. Begitu juga kota Mekah adalah kawasan larangan berperang. Mekah terus berkembang pesat, malangnya puak Jurhum mula leka dengan kemewahan dunia.
Bila nabi Ismail dan keturunannya keluar dari kota Mekah, ugama yang dibawa oleh Ibrahim a.s mula dipesongkan. Berhala-berhala yang di cipta oleh mereka diletakkan disekeliling Kaabah untuk disembah. Malah dewa-dewa mereka juga disajikan dengan korban dari haiwan ternakan dan manusia. Bangsa Arab terus hanyut di zaman jahiliyah dan membawa kerosakan di muka bumi.
Zaman kegelapan mereka berterusan hinggalah lahirnya junjungan besar nabi Muhammad S.A.W. yang membawa ajaran Islam. Setelah berdakwah selama 13 tahun dikota Mekah nabi kemudiannya diperintah untuk berpindah ke Madinah. Maka bermulalah peristiwa penghijrahan beliau yang membawa lembaran baru dalam perkembangan Islam. Dari segi sejarah, inilah titik tolak satu permulaan asas kepada agama , empayar dan tamadun. Hasil dari pemerintahan rasullullah maka wujudlah suatu empayar yang melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya.
Sudah menjadi sifat tabieenya bangsa Arab suka berpecah belah maka krisis pertama bermula apabila wafatnya kekasih Allah. Maka muncullah seorang Yahudi dari Yaman, Abdulla bin Saba’ atau lebih dikenali sebagai Ibn Sawda’ memain peranan. Dia telah meyebarkan idea bahawa Nabi Muhammad S.A.W. telah mewasiatkan Saidina Ali r.a sebagai khalifah. Bukan itu sahaja malah ia juga telah menghina Abu Bakar, Umar , Uthman dan sahabat-sahabat nabi yang lain secara terang-terangan.
Ibn Sawda juga adalah orang yantg bertanggungjawab atas pelbagai idea dan fahaman yang kemudiannya menjadi usul teras golongan Syiah. Disinilah bermulanya perpecahan umat Islam , kumpulan Syiah mempercayai bahawa rasullulah telah mewasiatkan Saidina Ali r.a iaitu sepupu baginda sebagai khalifah, pemegang amanah dan imam bagi seluruh umat. Namun sahabat-sahabat baginda telah mengambil kata sepakat untuk melantik Saidina Abu Bakar r.a sebagai khalifah seterusnya. Persengketaan berterusan hinggalah peristiwa Uthman bin Affan , khalifah keempat telah dibunuh. Dalam sejarah inilah peristiwa pertama pemerintah Islam dibunuh oleh orang Islam sendiri dan berakhirlah pemerintahan empat sahabat terpilih, Khulafa’ ar Rasyidin.
Baginda kemudiannya telah diganti dengan Saidina Ali bin Abi Talib tapi tidak dipersetujui oleh gabenor Syria pada ketika itu Muawiyah yang menuduh Saidina Ali telah bersubahat dalam pembunuhan khalifah ke-4. Akhirnya kedua-dua mereka menyelesaikan masalah melalui perundingan yang mana hasilnya tidak adil pada pandangan golongan Syiah.
Peperangan saudara ini meletus kembali apabila Muawiyah meninggal dan diganti oleh anaknya Yazid. Muawiyah dikatakan tidak mematuhi perjanjian dengan Saidina Hassan Ibn Ali yang meyebut bahawa persoalan penggantian pemimpin setelah Muawiyah diserahkan kepada pemilihan umat Islam. Dari persengketaan ini maka berlakulah pertembungan bersejarah antara puak Sunni dan Syiah pada 680M di Karbala. Akibat dari peristiwa ini Saidina Hussien a.s telah dipenggal kepalanya. Catatan sejarah terbahagi kepada dua versi.
Yang pertama diceritakan bahawa Hassan a.s sendiri yang bersetuju dengan penyerahan jawatan khalifah kepada Yazid. Semasa peperangan Karbala , Ubaidullah yang hanya hendak menunjukkan kehebatannya telah memenggal kepala Hussein a.s . Peristiwa ini telah ditangisi oleh Yazid yang tidak pernah menginginkan cucu rasullah itu dicederakan.
Versi keduanya, Hussein a.s sebenarnya telah dipenggal oleh ulamak Syiah sendiri iaitu Mulla Baaqir Majlisi yang tidak berpuas hati dengan saidina Hussein yang ingin berbaik dengan Yazid bin Muawiyah.
Apa pun versinya, kedua-dua pihak tidak mengambil iktibar dari apa yang berlaku malah mengeruhklan lagi keadaan. Pada 750M perang saudara ketiga terjadi lagi dimana peerintahan Umaiyyah dijatuhkan oleh Bani Abbasiyah. Penglibatan Syiah didalam propaganda revolusi Abbasiyah memainkan peranan penting dalam kejatuhan kerajaan Umaiyyah.
Bani Abbasiyah merasakan lebih layak mewarisi jawatan Khalifah kerana mereka merupakan keturunan dari Nabi Muhammad S.A.W. Khalifah pertama bagi kerajaan Bani Abbasiyah dilantik adalah Abu Al-Abbas Al-Saffah. Golongan Syiah banyak membantu Abbasiyah kerana mereka merupakan keturunan rasullullah tapi apa yang mereka tidak puas hati ialah Abbasiyah adalah ahli Sunni. Perang saudara ke 4 pada 814M meletus kembali apabila Khalifah Harun Al-Rasyid meninggal dunia.
Al-Amin telah terbunuh dalam pertempuran dua beradik bagi merebut kuasa dan Al-Ma’mun menjadi khalifah. Kerajaan terus berkembang selama dua kurun yang menyaksikan pemerintahan 37 orang khalifah mazhab Sunni dan Syiah silih berganti. Indahnya pada waktu ini ramai sarjana-sarjana Islam yang hebat lahir seperti Ibnu Sina, Al-Khindi, Al-Farabi dan lain-lain lagi. Begitu juga dengan monumen-monumen yang gah telah dibina seperti masjid Cordoba pada1000M. Kerajaan ini berakhir pada 1258M setelah Baghdad diserang oleh tentera Mongol. Al- Musta’sim pemerintah terakhir telah dijatuhkan hukum bunuh.
Apabila jatuhnya kerajaan Abbasiyah maka dapat dilihat kuasa khalifah tidak lagi berpusat tapi di pisahkan dibawah pemerintahan berasingan. Selepas pemerintahan Monggol, kerajaan Ottoman, Turki yang berasetkan kekuatan tentera mula berkuasa dan menjadi sebuah monarki Islam yang universal.
Pada 1301M Uthman I mengistiharkan dirinya sebagai sultan dengan tertubuhnya Empayar Turki Uthmaniyah. Kerajaan Uthmaniah mencapai zaman kegemilangannya dan paling berkuasa di mediteranean dan menguasai Eropah di Balkans dan Hungary. Namun begitu sepanjang pemerintahan Safavid (Syiah) dan Uthmaniyah tidak lekang dari persengketaan. Permusuhan Sunni dan Syiah mula menarik perhatian kuasa barat sebagai peluang untuk menghancurkan kekuasaan Islam.
1914 Peperangan Dunia pertama berlaku sekutu tentera Jerman iaitu kerajaan Uthmaniah mengistiharkan perang jihad terhadap Perancis, Rusia dan British. Tentera British dengan bantuan sekutu-sekutunya iaitu umat Islam sendiri menjatuhkan kerajaan Turki. Maka tercatatlah dal;am lembaran sejarah pada 11 Disember 1917 tentera British menawan Baitulmaqdis. Sir Edmund Allenby menganggap dirinya sebagai penakluk Kristian yang pertama sejak dari perang salib.
Hal ini tidak disedari oleh umat Islam yang membantu kejaan British melaksanakan agenda mereka. Umat Islam sebenarnya telah diperolok-olok dengan perjanjian palsu oleh T.E Lawrence dengan sekutu-sekutu bangsa Arab mereka. Bangsa Arab yang tamakkan kuasa telah dijanjikan hak pemerintahan sendiri jika berjaya menjatuhkan kerajaan Islam Turki. Apa yang berlaku sebenarnya ialah, suatu perjanjian rahsia antara 2 pemimpin British dan Perancis telah ditandatangani.
The Sykes Picot Agreement menyatakan bahawa kuasa terhadap Syria, Lebanon dan Turki akan diserahkan pada Peranchis. Palestine ,Jordan dan kawasan sekitar Teluk Parsi dan Baghdad adalah dibawah kuasa British jika Empayar Islam ini berjaya dijatuhkan. Umat Islam terlalu leka dengan permusuhan sesama sendiri hingga tidak menyedari telah membenarkan penebaran kekuasaan Kristian.
Setelah jatuhnya kerajaan Uthmaniah, bangsa Arab mula tersedar mereka telah dirompak oleh kuasa barat. Kemerdekaan yang dimpikan telah menjadi suatu mimpi ngeri apabila pihak British dan Peranchis mula melakar sempadan di peta Jazirah Arab. Garis sempadan yang dibuat khas supaya persengkataan pihak Sunni dan Syiah berterusan. Inilah agenda utama Kristian bagi membunuh kekuasaan Dinasti Islam. Malah pihak Barat mula menambah musuh untuk bangsa Arab agar mereka terus bersengketa hingga memakan diri. November 1917 Kerajaan British telah menghadiahkam Tanah Palestine bagi membalas budi pihak Yahudi pada perang dunia pertama. The Balfour Declaration telah membenarkan kemasukan pertama bangsa Yahudi di tanah Palestin. Kedua-dua bangsa Arab dan Yahudi merasa mereka telah tertipu kerana telah dijanjikan sekeping tanah yang sama. Perebutan kuasa tanah terjanji berterusan dengan disaksikan oleh British yang berada di tengah.14 May 1948 British dengan rela hati telah keluar dari Palestine dan membiarkan kedua bangsa yang bertalian darah membunuh sesama sendiri.( Siapakah Yahudi akan diterangkan nanti. )
1923 Sistem kesultanan dihapuskan dan Turki diistiharkan sebuah negara Republik. Pejabat khalifa telah di hapuskan maka berakhirlah Daulah Islam yang telah menguasai sebahagian dunia selama 4 centuries. Pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyyah yang berteraskan sistem perundangan Islam rebah ke bumi. Kepimpinan sekular dibawah Mustafa Kemal Attarturk menyaksikan ramai ulamak-ulamak Sufi dibunuh. Perlembagaan negara menolak pegangan akidah Islam secara total. Matlamat perjuangan perang salib tercapai.
Tahun 1978 kebangkitan pengaruh Syiah di Iran bermula dan dunia melihat nya sebagai kebangkitan semula kuasa Islam. Realitinya kelompok Syiah Imamiah tidak berkongsi misi dan visi dengan pihak Sunni. Negara-negara jiran di bawah pimpinan Sunni seperti Iraq, Kuwait , Arab Saudi dan negara Teluk Parsi merasa kurang senang dengan kebangkitan Iran dibawah pimpinan Ayatullah Khomeini.
Pada September 1980 mimpi ngeri bumi Jazirah berulang, dimana berlakunya kehancuran dan pertumpahan darah sesama Islam. Iraq menceroboh sempadan Iran dalam misi untuk menggulingkan kerajaan Revolusi Iran seterusnya menguasai kawasan telaga minyak di wilayah Khuzestan. Peperangan berterusan selama 8 tahun dan Iraq mengalami kemerosotan ekonomi. Bagi menyelesaikan masalah, 2 Ogos 1990 Iraq menyerang sekutunya sendiri tapi percaturannya memakan diri.
Negara barat sekali lagi mengambil peluang berperanan di pentas jazira, Arab Saudi menjemput Amerika Syarikat bagi melindunginya. Kesilapan lalu tidak memberi pengajaran kepada bangsa Arab, peluang keemasan tidak ditolak oleh Amerika Syarikat yang begitu mengingini kekayaan bumi Jazirah. Amerika telah melobi pemimpin dunia agar sekatan ekonomi dikenakan keatas Iraq sebagai umpan untuk kepentingan sendiri. Termaktublah dalam sejarah 27 Februari 1991 Kuwait dibebaskan dan presiden Bush mengumumkan perang tamat.
Bangsa Arab yang buta lagi tuli mengangap Amerika sebagai wira yang menyelamatkan mereka dari pemimpin diktator Saddam Hussein. Dengan penuh kerelaan memberi ruang pada tentera-tentera Amerika berpangkalan di bumi Jazirah pimpinan puak Sunni.
Rahsia percaturan Presiden Bush diperturunkan kepada anaknya yang merajui Amerika Syarikat pada 2001. Peristiwa 11 September 2001 memberi ruang untuk Amerika memerangi terang-terangan umat Islam atas nama keganasan. Beberapa kumpulan perjuang Islam mula lahir sebagai tindak balas memberontak dengan tindakan Amerika dan sekutu-sekutunya.
Penggunaan cara-cara militan dan gelombang jihad berdarah dibuat bagi menunjukkan pemberontakan keatas Amerika. Sebaliknya ia di pertontonkan oleh Amerika kepada dunia bahawa Islam adalah suatu agama yang menggugat ketenteraman dunia dan mendorong kepada keganasan. Negara-negara Islam pimpinan puak Sunni terus menggagung-agungkan Amerika sebagai wira yang akan terus melindungi mereka dari serangan aktivis ektremis. Mengapa mereka tidak bertawakal kepada Allah? Mengapa kuasa barat dijemput sebagai pelindung?
Amerika terus menyuntik budaya kotornya dijiwa remaja Islam agar akhlak dan akidah mereka rosak. Filem, musik, fahaman hedonisma digunakan sebagai senjata senyap membunuh umat Muhammad. Alpa dengan kemewahan yang ada bangsa Arab bagai lembu ditarik hidung mengikut telunjuk Amerika hinggakan semua jawatan tertinggi perusahaan dikhaskan untuk rakyat Amerika. Susuk Amerika begitu hebat hingga Arab hanya melihat Yahudi sebagai musuh utama mereka.
Selama 700 tahun umat Islam memegang kuasa dunia tapi akhirnya rebah kerana perbalahan. Dorongan kebendaan, pembentukan fahaman politik yang berbeza, aktivis fanatik, pemimpin yang tidak adil, penjajahan fizikal dan mental pihak barat dan pelbagai lagi masalah yang mengundang kepada kejatuhan dinasti Islam. Ini semua tidak akan terjadi jika pada awalnya pihak Sunni dan Syiah bersatu. Di abad ke 20 ini, kita dapat menyaksikan betapa rakusnya puak Sunni mengejar duniawi hingga sanggup menggadaikan maruah pada pihak barat.
Kini Iran boleh diibaratkan sebagaikan pencetus momentum besar terhadap kebangkitan semula Islam di mata dunia. Secara terang-terangan pemimpin Iran menunjukkan kebencian terhadap Amerika Syarikat. Malangnya perjuangan mereka berteraskan fahaman Syiah. Kita mahukan kuasa Amerika tersungkur tetapi pada masa yang sama, kita juga tidak ingin melihat penyebaran berleluasa fahaman dan amalan Syiah yang khurafat di bumi ini. Pasti kamu bertanya soalan “Mengapa ibu tidak mengajar kami menjadi Syiah?”

bersambung…


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: